Suasana nampak tidak lega selepas seminggu sejak dari hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini. Selain daripada isu tempatan, isu yang diada-adakan, tidak kurang panasnya isu kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) calon.
Pihak lawan dan yang berkepentingan masih tidak habis-habis dengan isu kononnya calon BN tidak mempunyai kelulusan setaraf. Calon hanya memiliki SPM dan dianggap tidak layak untuk menjadi Wakil Rakyat bagi DUN tersebut.
Saya merasakan tindakan ini tidak adil. Semakin hari hinaan itu semakin menggila digunakan bagi menunjukkan calon itu bila menang nanti tidak mampu memimpin di kawasan yang ditandinginya.
Apakah bodoh sangat manusia yang mempunyai kelulusan SPM ini?
Adakah calon yang mempunyai pendidikan tinggi sahaja yang layak menjadi Wakil Rakyat?
Dalam politik ini kelulusan sahaja tidak cukup. Kita perlukan lebih dari itu. Kalau ada kelulusan itu amatlah bagus tetapi jika hanya kerana kelulusan sahaja akhirnya wakil rakyat itu menjadi penyamun seperti yang berlaku dalam sebuah parti politik hingga tertangkap RM600 ribu dalam simpanan di rumah dan bonet kereta. Adakah kelulusan sudah menjadikan dia pemimpin hebat?
Kita lihat begitu banyak pemimpin parti Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai kelulusan hebat-hebat tetapi akhirnya negara kita hancur hingga habis segala harta negara dijual untuk membayar hutang kata mereka. Segala macam bantuan kepada rakyat yang memerlukan dipotong dan dihapuskan kerana kata mereka membazir. Alasan mereka bodoh kerana mereka sebenarnya tidak tahu bagaimana mahu mencari duit bagi mentadbir negara.
Mereka itu kelulusannya tinggi, tetapi bodoh hingga hampir hancur negara ini dibuatnya.
Di kawasan DUN pula kita dapat lihat wakil rakyat yang dikatakan mempunyai kelulusan memilih untuk membuka kebun Ganja, ada yang langsung tak balik ke kawasan, ada yang sudah jadi gila tapi masih mahu duduk di kerusi DUN. Ada yang memaki hamun Babi.. babi.. Babiiii... di dalam sidang dewan.
Itu yang kita katakan kelulusan menjadikan mereka bijak?
Saya tidak mengatakan kelulusan tidak penting tetapi saya mengatakan bahawa kita perlu mencari calon yang sesuai untuk berhadapan dengan rakyat tempatan. Seorang calon yang tahu bagaimana untuk menguruskan atau berhadapan dengan rakyat yang mengundi mereka. Kita perlukan seorang wakil rakyat yang bersungguh mahu bertanggungjawab terhadap kawasan yang mereka tandingi.
Janganlah begitu menghina dengan menganggap orang yang mempunyai kelulusan SPM sahaja tidak mampu menjadi wakil rakyat yang baik.
Kita sepatutnya bangga bila ada orang yang hanya mempunyai kelulusan rendah begitu berjaya menempatkan diri sebagai calon wakil rakyat, Kita patut jadikan contoh bagaimana dia yang hanya berpendidikan rendah gigih menempatkan diri tersenarai sebagai calon pilihanraya. Kita kena beritahu anak-anak, sahabat taulan supaya kita yang mempunyai kelulusan tinggi ini wajib mendekati masyarakat agar dapat dilihat sebagai seorang yang bertanggungjawab dan mampu memimpin kawasan yang mahu ditandingi.
Bagi saya ia merupakan satu tamparan hebat bagaimana sesorang yang mempunyai kelulusan asas mampu mengurus, merancang dan mengusahakan dirinya sehingga disenarai sebagai calon pilihaanraya.
Jangan ingat kita pandai, ada sijil diploma Ijazah, jadi pegawai menteri, jadi orang kanan pemimpin tinggi sudah melayakkan kita jadi calon. Belajarlah bagaimana untuk mendekati rakyat. Insyaallah akan ada ruangnya nanti jika diizinkan Allah SWT.