300 tan beras untuk kelompok terjejas di wilayah utara Rakhine

Photo Hiekal Rosli

Misi Food Flotilla For Myanmar yang membawa 2,000 tan bantuan kemanusiaan akan menghantar 300 tan beras kepada kelompok terjejas di wilayah utara Rakhine, minggu depan.

Beras terbabit bersama-sama 50,000 pek mi segera, 10,000 botol air mineral 500ml dan 10,000 "kit kebersihan" akan disalurkan kepada kelompok terjejas, khususnya etnik pelarian Rohingya.

Bantuan kemanusiaan itu akan diserahkan oleh 230 peserta flotila dalam dan luar negara, kepada wakil Kerajaan Myanmar di Pelabuhan Yangon pada majlis ringkas yang dijangka diadakan Selasa depan.

Ketua misi yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata penghantaran bantuan ke Rakhine akan dipantau Kedutaan Besar Malaysia di Myanmar.

"Kita mahu pastikan bantuan flotila kemanusiaan sampai ke kelompok sasaran," kata Abdul Azeez pada sesi taklimat bersama peserta flotila di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya di sini, petang tadi.

Hadir sama Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid dan Pengarah Operasi Flotila yang juga Timbalan Presiden KP1M, Datuk Farid Hassan.

Kapal Nautical Aliya yang kini dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang turut membawa 230 peserta, termasuk aktivis, sukarelawan, ahli politik, ahli agama dan wakil media tempatan dan antarabangsa.

Flotila itu diterajui KP1M dan MAPIM dengan sokongan 30 NGO dalam dan luar negara, antaranya dari Indonesia, Thailand, Kemboja, Bangladesh, United Kingdom, Jerman, China, Perancis dan Amerika Syarikat.



No comments: