Sungai Besar tidak memerlukan gedung membeli-belah yang besar tetapi perlu suasana kampung dikekalkan [#scs93 #prksgbesar]


Meningkatkan akses terhadap pendidikan dan tahap ekonomi penduduk, menjadi dua fokus utama Budiman dan mengakui dua faktor berkenaan mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan Parlimen Sungai Besar dalam cara yang tersendiri.

Budiman berkata kawasan Parlimen itu kaya dengan pemandangan sawah padi menghijau serta suasana kampung yang menjadi tarikan kepada pelancong dalam dan luar negara.

Sungai Besar tidak memerlukan gedung membeli-belah yang besar tetapi apa yang diperlukan adalah mengubah landskap supaya suasana kampung dikekalkan.

Sungai Besar juga mahu penduduknya mempunyai ilmu yang tinggi sekali gus dapat berfikir untuk menjana pendapatan daripada sumber sedia ada.

Sebagai contoh, katanya tanaman seperti ubi kayu dan kelapa boleh ditambah nilai dan dijadikan produk komersial untuk dipasarkan dalam dan luar negara.

Justeru, katanya bagi mencapai hasrat itu, beliau akan memastikan infrastruktur pendidikan dibangunkan dengan lebih rancak di kawasan Sungai Besar, jika BN terus diberikan mandat oleh rakyat.

Budiman berkata beliau juga berjanji akan menjadi orang tengah antara kerajaan dan rakyat dalam menyelesaikan segala permasalahan berbangkit dalam kawasan Parlimen itu.

"Saya lahir di sini, bersekolah di sini, malah uri saya juga ditanam di sini, jadi saya mampu menyelami denyut nadi orang di sini," katanya.

Budiman yang juga Adun Sungai Panjang berkata, pengundi di Parlimen itu boleh menilai usaha dilakukannya dalam menyelesaikan masalah penduduk, sepanjang tiga tahun menjadi wakil rakyat.

"Politik adalah tentang memberi perkhidmatan, dan alhamdulillah rakyat termasuk kaum Cina dan India memberikan maklum balas yang positif terhadap khidmat yang saya berikan selama ini.

"Jadi rakyat mempunyai pilihan sama ada memilih orang yang telah mempunyai 'track record' atau memilih orang luar yang datang sebagai calon payung terjun," katanya sambil melahirkan keyakinan bahawa BN akan menang dengan majoriti yang besar dalam PRK itu.

Malah, Budiman berkata Umno, bahagian Sungai Besar berada dalam perpaduan dan kesiapsiagaan yang tinggi bagi memastikan BN mencapai kemenangan pada hari pengundian, 18 Jun ini.

Beliau turut menolak desas-desus kepimpinan Umno bahagian itu tidak berpuas hati dengan pemilihannya sebagai calon BN.

"Kalau tidak dipilih kepimpinan tempatan, mana boleh saya dicalonkan, ini bukan mengenai kejayaan peribadi tetapi kejayaan BN yang lebih penting dalam merampas kembali negeri Selangor daripada Pakatan Harapan," katanya.

 [#scs93 #prksgbesar]

No comments: