Lepas Tamat Tempoh Mandat, Kita Boleh Lantik Yang Lain - Mohd Zuhdi Marzuki

Dalam Islam, ada kesederhanaan dalam perkara berkaitan dengan ketaatan kepada pemimpin. Kalau dilihat pada hadith, ada banyak yang memberi ancaman terhadap mereka yang menentang pemimpin. Kemudian ada banyak juga hadith yang menghargai pihak yang menentang pemimpin.

Ada pihak seperti ulama muda Umno secara total menyebut tidak boleh menentang pemimpin. Ada pula pihak seperti pendukung demokrasi tulen secara total menyebut boleh jatuhkan pemimpin hatta melalui jalanraya.

Kita sebagai parti Islam ambil jalan pertengahan, antara hadith yang paling boleh menjelaskan jalan ini ialah: "Mendengar dan mentaati pemimpin adalah wajib sama ada pada perkara yang kamu suka atau benci selama mana tidak disuruh kepada maksiat (penyelewengan). Apabila disuruh kepada maksiat tidak wajib ditaati".

Plato seorang ahli Falsafah Yunani yang banyak menjadi inspirasi kepada falsafah politik Barat, tidak suka kepada demokrasi yang tidak dikawal oleh undang-undang kerana ia boleh membawa kepada huru hara atsu tyranny. Apabila rakyat diberikan kebebasan tanpa batas dan tidak dikawal oleh undang-undang untuk menurunkan pemimpin huru hara akan berlaku.

Isu kemelut politik di Kedah di zaman Almarhum Ustaz Azizan yang kemudiannya membawa kepada kekalahan PAS di Kedah, berpunca daripada kita tidak bersabar dalam mentaati dan mendengar dari pemimpin. Kita ada peraturan untuk menurunkan pemimpin iaitu pilihanraya umum. Kalau kita boleh bersabar sekejap tidak menimbulkan huru hara, pemimpin ini akhirnya boleh diturunkan.

Demikian juga dalam kes Khalid Ibrahim, mari kita jadikan hadith itu panduan. Berikan mandat kepada dia, walaupun ada perkara yang kita suka dan ada perkara yang tidak suka, selagi mana dia tidak menyeleweng dan rasuah. Lepas tamat tempoh mandat, kita boleh lantik yang lain.

Bukankah ini tatacara yang lebih teratur dalam mengikut budaya demokrasi. Sekali kita mencipta budaya baru, turunkan pemimpin dengan cara tidak biasa atau seperti rampasan kuasa di Thailand, budaya itu akan terus melekat. Bila lepas ini TSKI diganti, bila ada yang tidak puashati budaya yang sama akan diikuti. Sampai maslahah rakyat diabaikan oleh kemelut ahli-ahli politik.

- Mohd Zuhdi Marzuki

No comments: