Saman kerajaan: Rayuan P. Uthayakumar ditolak mahkamah

PUTRAJAYA 7 Mac — Mahkamah Persektuan di sini hari ini menolak permohonan peguam, P. Uthayakumar untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap dua keputusan Mahkamah Rayuan berhubung dua saman sivil berasingan.

Pertama ialah saman RM100 juta yang beliau failkan terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Kerajaan Malaysia atas dakwaan mengaitkan beliau dengan kumpulan pengganas.

Dalam kes kedua, Uthayakumar, 49, menyaman polis dan kerajaan atas dakwaan menangkap dan menahannya secara salah.

Panel lima hakim, yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria, sebulat suara menolak dua permohonan peguam itu untuk mendapatkan kebenaran untuk merayu.

Panel itu, yang turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong dan Datuk Hasan Lah memerintahkan Uthayakumar membayar RM20,000 sebagai kos guaman.

Pada 9 Mac tahun lepas, Mahkamah Rayuan, dalam keputusan 2-1nya, mengetepikan saman fitnah yang dikemukakan Uthayakumar selepas membenarkan rayuan Musa, Abdul Gani dan Kerajaan Malaysia untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan mereka.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa tindakan undang-undang yang diambil Uthayakumar tidak dapat dipertahankan kerana kata-kata berbaur fitnah yang didakwa dikeluarkan Musa, bukan merujuk kepada Uthayakumar, tetapi kepada Hindraf sebagai satu kumpulan.

Mahkamah itu juga memutuskan bahawa Hindraf tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman kerana ia bukan pertubuhan berdaftar. BERNAMA

No comments: