Ads Top

JAIS, POLIS SERBU GEREJA

Oleh Norfatimah Ahmad, Khairul Azran Hussin dan Shaarani Ismail
bhnews@bharian.com.my
2011/08/05


PEGAWAI JAIS dan polis memeriksa Dewan DMC di Seksyen 13, Petaling Jaya didakwa menyebarkan agama Kristian melalui seminar dan ceramah kepada orang Islam, malam semalam.
12 Muslim didapati menghadiri majlis diselit perkataan al-Quran

SHAH ALAM: Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya, malam kelmarin, selepas mendapat maklumat orang Islam menghadiri majlis di gereja berkenaan.
Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 9 malam, kelihatan seseorang sedang mengadakan pengucapan awam yang ucapannya ada diselitkan perkataan al-Quran dan terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal-Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, berkata anggota penguat kuasa JAIS bersama polis menjalankan pemeriksaan di premis itu walaupun dihalang penganjur.

Katanya, penganjur utama dipercayai beragama Islam berunding hampir sejam bersama ketua pasukan operasi agar pemeriksaan ke atas tempat dan individu tidak dilakukan sehingga majlis selesai.

“Selepas majlis hampir tamat, penguat kuasa dan polis membuat pemeriksaan meskipun terdapat cubaan menghalang mereka dan melupuskan bahan bukti,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Pegawai penguat kuasa JAIS dan polis mendapati ada cubaan untuk melarikan diri melalui pintu belakang premis tetapi berjaya dihalang.
Hasan berkata, terdapat 12 orang beragama Islam menghadiri majlis itu, namun tiada tangkapan dibuat dan mereka diarah hadir di Bahagian Penguatkuasaan JAIS untuk siasatan lanjut.

“Berpandukan kepada siasatan awal mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kerajaan negeri memandang serius insiden itu dan secara peribadi menghubungi Pastor Daniel Ho bagi menyatakan kekesalan.

“Saya memberitahu beliau bahawa saya sudah minta JAIS menyediakan laporan penuh mengenai insiden ini, termasuk sebab terperinci serbuan dilakukan.

“Saya berharap dapat berjumpa dengan Pastor Daniel Ho sebaik laporan lengkap ini diterima,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) kecewa dan terkejut dengan tindakan JAIS dan polis menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama yang dianggap sebagai tidak wajar.

Pengerusi CFM Biskop, Datuk Ng Moon Hing, berkata pihaknya akan memanggil beberapa pihak berkaitan supaya satu siasatan menyeluruh dapat dijalankan berhubung kejadian itu.

“Sejak kebelakangan ini, kita menyaksikan peningkatan insiden dengan orang Kristian menjadi sasaran tuduhan tidak berasas serta prejudis pelbagai kumpulan termasuk beberapa media arus perdana yang membuat kenyataan berbaur menghasut dan bercanggah dengan semangat 1Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

No comments:

Powered by Blogger.