Semua penganut agama Islam akan mengatakan bahawa agama Islam merupakan agama yang mementingkan kebersihan. Kita diajar bagaimana untuk bersuci dari kecil lagi; bagaimana untuk beristinjak, jenisjenis air untuk bersuci, bagaimana mengambil wuduk; hatta hingga cara membersihkan hadas sekalipun. Kita juga diajar jenis-jenis najis dan cara mensucikan sesuatu tempat sebelum tempat itu dikira bersih lagi suci. Bahkan tular di dalam media sosial apabila dikatakan beberapa bahan makanan mengandungi DNA babi; walhal perkara tersebut belum dapat dipastikan. Sehinggakan ada pihak yang menpersoalkan samada wang kertas perlu disamak kerana wang tersebut dipegang oleh peniaga bukan-Islam yang memegang daging babi dan anjing! Begitu sensitif masyarakat Islam tentang kesucian.
Banyak firman Allah SWT dan hadis-hadis
tentang keutamaan kebersihan. Sikap membudayakan amalan kebersihan adalah bukti
kekuatan akidah seseorang dan disukai oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam
surah alBaqarah ayat 222:
Maksudnya:”Sesungguhnya Allah mengasihi
orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan
diri”.
Antara hadis-hadis RasulAllah SAW yang
menekankan faktor kebersihan seperti berikut:
“Diriwayatkan dari Sa’ad bin Abi Waqas dari
bapanya, dari Rasulullah SAW. : Sesungguhnya Allah SWT itu suci yang menyukai
hal-hal yang suci, Dia Maha Bersih yang menyukai kebersihan, Dia Mahamulia yang
menyukai kemuliaan, Dia Maha Indah yang menyukai keindahan, karena itu
bersihkanlah tempat-tempatmu” (HR. Tirmizi)”
Dari Abu Malik Al-Asya’ari RA katanya:
Rasulullah SAW bersabda “Bersuci membersihkan diri (zahir dan batin) adalah
setengah daripada iman.”
Gambar 1: Sampah sarap di tepi jalan |
Amalan kebersihan bukan setakat untuk diri
individu semata-mata, bahkan kebersihan persekitaran seperti pencemaran sampah,
air, udara, kesucian makanan, dan rumah ibadat juga perlu dititik beratkan oleh
orang yang mengaku dirinya berugama Islam. Malangnya, apa yang sepatutnya
menjadi amalan setiap umat Islam tidak digambarkan sedemikian jika kita melihat
keadaan di sekeliling kita. Benarlah kata pujangga Muhammad Abduh pernah
menyatakan: “Aku pergi ke Barat dan melihat Islam, tetapi tidak berjumpa
Muslim; aku pulang ke Timur berjumpa ramai Muslim, tetapi tidak melihat Islam.”
Jika ingin melihat Islam diamalkan, pergilah ke negara bukan Islam seperti
Jepun atau Jerman bukan ke negara umat Islam. Hakikatnya jika kita mengembara
ke negara Jepun atau Jerman, kita akan melihat bagaimana bersihnya persekitaran
mereka sehingga kita sendiri berasa malu untuk membuang sampah meratarata.
Bandingkan pula dengan negara-negara umat
Islam seperti Indonesia dan negara kita Malaysia. Lihatlah di persekitaran kita
sendiri di kawasan-kawasan perumahan. Kita dapati sampah sarap bersepah
merata-rata. Barangkali sekiranya tiada kontraktor menyapu sampah seminggu,
sudah pasti sampah sarap bertimbun di pinggir-pinggir jalan!
Akibatnya masalah sampah sarap tidak
selesai. Masalah anjing liar dan penyakit seperti pembiakan nyamuk Aedes terus membelengui pertempatan
kita. Maka penguasa tempatan terpaksa membelanjakan jumlah yang besar membiayai kerja-kerja
pembersihan. Pasti sahaja rakyat Malaysia tidak mencukupi untuk bekerja sebagai buruh-buruh mengutip sampah; lalu
pekerja import di bawa masuk. Walhal pekerja-pekerja import ini juga merupakan salah satu punca sampah kerana
mereka membawa budaya dari negara mereka.
Gambar 2: Mangsa terbunuh akibat kerusi
yang di buang dari tingkat atas (Ihsan: Sinar Harian) |
Kemuncak kepada masalah sampah ini adalah
kisah bagaimana seorang remaja maut akibat sampah yang dibuang dari tingkat
atas pangsapuri Sri Pantai, DBKL. Ini merupakan manifestasi kebobrokan sikap
kiasu di kalangan penduduk Malaysia. Sekarang DBKL akan memasang jaring supaya
sampah-sampah yang di buang dari tingkat atas tidak jatuh ke lantai. Soalnya,
adakah ini satu penyelesaian? Yang pasti, jaring ini akan dipenuhi sampah kelak
dan akan menjadi masalah untuk mengutip sampah-sampah ini.
Beginikah mentaliti rakyat negara yang berwawasan 2020 satu ketika dahulu? Sikap pengotor dan tidak mengambil-kisah
kemaslahatan umum ini menunjukkan bahawa kita masih jauh ketinggalan berbanding
negara-negara seperti Singapura, Jepun, Sweden dan seumpamanya dari segi
perkembangan intelektual dan sahsiah. Sebagai penganut ugama Islam pula, di
mana letaknya iman kita? Bukankah kita di ajar konsep hubungan vertikal kita kepada
Allah (Hablumminallah), sedangkan hubungan horizontal adalah hubungan kita
kepada sesama makhluk Allah (Hablumminannas)? Malah Nabi Muhamad SAW bersabda
bahawa sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada orang lain.
Bukan sahaja kita kalah dengan perbandingan
dengan negara-negara sekular, pada neraca Islam sekalipun kita tewas. Lihat sahaja kebesihan sebuah
tandas pekerja di sebuah kilang di Jepun yang di lawati oleh penulis. Lihat sahaja kebersihan lantai tandas
tersebut; sehingga boleh tidur di dalamnya. Bandingkan pula kebersihan tandas di negara Jepun dengan negara kita.
Bahkan juga, tandas di masjid atau surau juga tidak sebersih ini!
Gambar 3 : Tandas di sebuah kilang di Jepun |
Budaya menjaga kebersihan memang diterapkan
oleh bangsa Jepun sejak kecil lagi. Di sekolah-sekolah, murid-murid dikehendaki
membersihkan bilik darjah dan tandas menggunakan tangan. Sessi mencuci tandas
ini menjadi sebahagian daripada ritual mingguan dan sebahagian daripada silibus
pendidikan. Pembaca boleh merujuk laman-laman web atau di YouTube untuk melihat
sendiri perkara ini seperti berikut:
https://mic.com/articles/118030/look-at-what-students-in-japan-are-doing-that-the-u-s-would-never-consider#.HKAeeQhdP
https://www.quora.com/Does-the-Japanese-education-system-really-require-students-to-clean-schools-by-themselves
https://www.youtube.com/watch?v=jv4oNvxCY5k
https://www.youtube.com/watch?v=0IwXYy_2BeU
https://www.youtube.com/watch?v=0IwXYy_2BeU
Bayangkan jika perkara sebegini
dilaksanakan di sekolah-sekolah di negara kita. Kemungkinan besar ia akan
menjadi satu peristiwa yang mengejutkan dan mendapat tentangan dari kalangan
ibubapa.
Pengalaman penulis sebagai pelajar di
sebuah sekolah berasrama penuh 40 tahun dahulu juga mempunyai ciri-ciri
persekolahan di Jepun. Di sana setiap pelajar perlu membersihkan dormitori dan
bilik darjah mengikut giliran setiap hari. Sementara pada setiap minggu
diadakan pemeriksaan mingguan sehinggakan kebersihan kuku dan kekilatan kasut
di ambilkira. Pengalaman ini mengajar penulis tentang keprihatinan terhadap
kebersihan sehingga sekarang.
Kebersihan Premis Makanan
Sejak akhir-akhir ini pertumbuhan
gerai-gerai tanpa lesen begitu mendadak di sekitar kawasan-kawasan perumahan.
Sudahlah gerai-gerai ini berniaga secara haram, kebersihan dan kesucian makanan
juga diragui. Lihat sahaja bagaimana pinggan mangkuk dan persediaan bahan
makanan dilakukan di gerai-gerai ini.Bukan sahaja kerta-kertas bungkusan
dibuang ke longkang-longkang, sisa-sisa makanan juga di buang. Akibatnya
longkang telah tersumbat dan pembiakan tikus kian menjadi-jadi. Bukan menjadi
sesuatu yang pelik sekiranya kita terlihat tikus sebesar anak kucing melintas
jalan di kawasan-kawasan gerai ini!
Kepada sipenjaja, jangan beranggapan
artikel ini umpama mencurahkan pasir ke dalam periuk nasi anda. Sebaliknya
sipenjual hendaklah bertanya kepada dirinya:
- Adakah anda seorang Muslim yang dalam ertikata sebenarnya dengan berniaga secara tidak berlesen ini?
- Adakah kebersihan dan kesucian makanan anda terjamin untuk dijamu kepada pembeli?
- Adakah adil sekiranya seorang pekedai yang berniaga secara sah terpaksa membelanjakan ribuan ringgit untuk sewa kedai, menyediakan jubin setinggi 2 meter sekeliling dinding kedai dan dapur mengikut kehendak PBT, membayar cukai setempat, bil elektrik dan air, membayar papantanda dan gaji pekerja; berbanding anda yang memacak gerai tanpa kos sewa, tanpa mengadakan kehendak syarat kebersihan PBT, tanpa bekalan air yang bersih?
- Adakah perbuatan anda tidak menyumbang kepada pencemaran alam sekitar dengan membuang sisa-sisa makanan ke dalam longkang? Bukankah ini menggalakkan pembiakan tikus yang menjijikan?
- Apakah pembiakan tikus ini tidak membahayakan jiran-jiran atau penduduk setempat? Bukankah ini menyebabkan ketidak-selesaan kepada penduduk setempat?
- Adakah agama Islam menggalakkan umatnya menyusahkan umat Islam yang lain?
- Bagaimana pula status halal-haram pendapatan anda dengan berniaga tanpa lesen yang sah (atau menyewakan tapak lot ke pihak ketiga di atas tanah awam) di samping mengakibatkan kekotoran pula; dan tanah awam ini menjadi milik/hak diri sendiri pula?
- Bagaimana pula sekiranya anda merasuah penguatkuasa agar tiada tindakan di ambil ke atas gerai anda?
Petikan rencana seperti berikut dari blog
Dr. MAZA perlu diambil ikhtibar mengikut perspektif Islam:
“Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang menyakiti kaum muslimin pada
jalan-jalan mereka dia pasti mendapat laknat mereka” (Riwayat al-Tabarani
dengan sanad yang hasan).
Perbuatan mengotor atau merosakkan harta
awam adalah termasuk dalam menyakiti perasaan kaum muslimin. Maka ia mengundang
kutukan dan cercaan mereka. Wajib membersihkan semula atau menggantikannya jika
rosak dengan cara yang tidak sepatutnya.
Malang sekali, ramai yang tidak perasaan
bahawa mereka sebenarnya melakukan dosa apabila mereka mengotor atau merosakkan
kemudahan awam sehingga menimbulkan kesusahan kepada orang lain. Nampaknya,
pengajian atau pendekatan pengajian agama yang diajar kepada masyarakat kita
masih gagal untuk diterjemahkan secara praktikal dari segi prinsip dan ruhnya…”
Gerai-gerai tanpa lesen ini bukan sahaja
merosakkan pemandangan estetik kawasan, ia juga menimbulkan kesesakan lalulintas apabila pengunjung
gerai-gerai meletakkan kereta mereka di sepanjang jalanraya.
Gambar 5 Kesesakan lalulintas akibat gerai-gerai haram |
Apa Tindakan Kita?
Mengharapkan tindakan
penguatkuasaan dari PBT semata-mata tidak memadai. Dengan kekangan kakitangan
PBT yang terhad dan kawasan yang luas, ternyata tindakan penguatkuasaan PBT
tidak efektif. Tambahan pula terdapat tekanan politik yang ingin mengekalkan
status quo agar sokongan politik diperolehi. Masalah pelindungan daripada
ahli-ahli politik setempat yang ingin menjadi juara kepada golongan ini
merumitkan lagi keadaan. Sepatutnya ahli-ahli politik menanam prinsip
kedaulatan undang-undang secara samarata di kalangan rakyat. Dengan cara ini,
barulah anjakan paradigma ke arah mentaliti negara maju terhasil.
Justeru, penduduk perlu bertindak dengan
memulaukan gerai-gerai ini dan menyatakan ketidak-selesaan kita dengan fenomena
ini. Penulis menyeru agar semua penduduk dan persatuan penduduk dan NGO
setempat sama-sama bangkit supaya kebersihan persekitaran kita terjamin.
Mahukah kita kiranya kawasan kita menjadi seperti kawasan setinggan satu hari
kelak sekiranya fenomena ini dibiarkan?
Pihak PBT diseru supaya menyediakan tempat
menjaja yang sesuai dilengkapi kemudahan elektrik, air dan kebersihan. Contohi
food court terbuka seperti di Singapura. Kos-kos pembersihan sampah, longkang
tersumbat, operasi tangkapan anjing dan kucing liar, operasi penyemburan nyamuk
bahkan penguatkuasaan, pasti boleh membayar kos pembangunan terancang ini. Cuba
buat cost-benefit anaysis! Bukan kita anti penjaja, tetapi biarlah keharmonian,
kebersihan setempat dan kemaslahatan umum diutamakan
Dinukil oleh: Ir. Hj. Arul Hisham b Abdul
Rahim