Perdana Menteri memberitahu, hal ini kerana pembangunan semula masjid dengan hampir keseluruhannya berwajah baharu itu ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan 1MDB.
Najib berkata, setakat ini, terdapat beberapa bil tambahan terpaksa dimasukkan ke dalam kos pembangunan yang perlu dilunaskan bagi memastikan keperluan masyarakat di kampung itu dipenuhi.
“Saya meminta bantuan Yayasan 1MDB yang mana banyak dikritik dalam media sosial sehari dua ini. Tetapi, inilah jasa 1MDB kepada umat Islam khususnya di Kampung Baru. Sumbangan yang sangat besar nilainya walaupun pada mulanya bajet yang agak sedang-sedang, tetapi apabila dilaksanakan, bajet terus bertambah dan akhirnya menjadi RM20 juta.
“Itu pun tak cukup lagi, ada lagi bil-bil tambahan yang terpaksa dilunaskan kerana cita-cita masyarakat di sini mahu sebuah masjid yang menjadi lambang kepada masyarakat kini dan akan datang,” katanya sewaktu berucap dalam majlis pembukaan dewan solat utama Masjid Jamek Kampung Baru di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Fahad Abdullah Al-Rashid dan Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru, Datuk Idris Shaari Mat Aris.
Dalam majlis itu, Fahad Abdullah menyerahkan 1,000 naskhah al-Quran yang merupakan sumbangan kerajaan Arab Saudi.
Perdana Menteri turut menunaikan solat Jumaat bersama-sama 7,000 jemaah yang dipimpin oleh imam dari Mekah, Sheikh Dr. Idris Ismail Al-Misrafi.
Dewan solat utama Masjid Jamek Kampung Baru dapat menampung jemaah kira-kira 8,000 orang pada satu-satu masa.
Dewan solat utama adalah sebahagian daripada projek pembangunan semula Masjid Jamek Kampung Baru yang mempunyai dua fasa pembangunan kesemuanya dalam tempoh dua tahun.
Najib menambah, wajah baharu Masjid Jamek Kampung Baru akan menjadi ikonik pembangunan Kampung Baru.
Beliau berkata, pembangunan semula masjid itu menjadi satu sejarah baharu yang cukup bermakna kerana sangat besar jasanya pada kita semua.
“Hari ini, kita berada dalam dewan baharu Masjid Jamek Kampung Baru dan kita dapat melihat bagaimana keindahan, kesegaran dan kecantikan masjid ini berbanding dengan masjid yang dulu,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment