KUALA LUMPUR 26 April - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini
menyifatkan tuduhan tidak berasas anggota pembangkang, Datuk Seri
Mohammad Nizar Jamaluddin mengaitkan ATM dan Perdana Menteri dalam soal
pilihan raya umum pada satu ceramahnya di Perak baru-baru ini berbaur
hasutan.
Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkefli Mohd Zin dalam satu sidang
media di sini hari ini berkata, seluruh warga ATM kecewa dengan tuduhan
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu kerana ia bermotif
untuk menjejaskan kredibiliti dan imej Perdana Menteri serta ATM.
Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak dalam
ceramahnya pada malam Isnin lepas dilaporkan mendakwa perdana menteri
mengadakan pertemuan dengan semua panglima angkatan tentera dan meminta
mereka melakukan sesuatu jika Barisan Nasional (BN) tumbang pada pilihan
raya umum ke-13 akan datang.
Zulkefli berkata kenyataan berbaur politik dan hasutan sedemikian
boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat serta menjejaskan
keselamatan negara.
"Dewasa ini wujud banyak pihak yang tidak bertanggungjawab dan
berkepentingan yang sentiasa berusaha untuk meracuni pemikiran rakyat
bertujuan bagi menghakis keyakinan masyarakat terhadap ATM dan kerajaan
memerintah pimpinan BN serta tidak terkecuali individu tertentu dalam
usaha melindungi politik mereka," katanya.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Panglima Tentera Darat
Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan
Sri Rodzali Daud dan Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya
Datuk Mohammed Noordin Ali.
Zulkefli berkata ekoran tuduhan tersebut, ATM akan membuat laporan
polis agar siasatan dapat dilaksanakan bagi membolehkan tindakan
undang-undang diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebarkan
tuduhan tersebut.
"Justeru, semua pihak diseru jangan sesekali terpengaruh dengan
tohmahan pihak berkaitan kerana ATM sentiasa mendukung perlembagaan dan
bersikap profesional," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment