PEMILIHAN MASJID JADI KECOH AKIBAT POLITIK PAKATAN HARAM


IJOK – Tidak berpuas hati hak mengundi dinafikan dalam mesyuarat khas pencalonan jawatankuasa masjid, beberapa ahli kariah Masjid Nurul Iman Batu 8, di sini keluar dari mesyuarat secara beramai-ramai sebagai tanda protes menyebabkan kekecohan berlaku.

Penduduk, Mohamad Afandy Mohd Dahlan berkata, dia yang mewakili kariah tidak berpuas hati dengan pelantikan yang dibuat pada Mesyuarat Khas Pencalonan Jawatankuasa Masjid sesi 2012 hingga 2015 yang diadakan pada 4 April lalu.

Menurutnya, selepas pencalonan untuk jawatan nazir dibuka, hanya dua individu tersenarai dan pemantau menyatakan tiada pengundian dibuat kerana arahan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

“Saya dimaklumkan, hanya perlu memilih dua calon ini dan Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor (Paidks) nilai dan dimuktamadkan, malah jika ada yang tidak berpuas hati perlu dikemukakan kepada Mais.

“Tindakan itu mendapat bantahan beberapa kariah masjid dan mereka merayu supaya diadakan pengundian, namun pengerusi mesyuarat dan pemantau tetap tidak membenarkan.

“Akibatnya, berlaku kekecohan dan beberapa penduduk keluar beramai-ramai kerana beranggapan tiada gunanya datang jika tiada peluang untuk mengundi dan mereka turut mempertikaikan tindakan itu.

“Kami juga mempertikaikan kewibawaan pegawai masjid yang mahu penduduk datang beramai-ramai untuk pemilihan jawatankuasa, namun tidak dimaklumkan tatacara dan peraturan mesyuarat yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Malah, senarai ahli kariah juga tidak dipamerkan sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi dan ketidakjujuran,” katanya dalam sidang media selepas keluar daripada mesyuarat terbabit semalam.

Mohamad Afandy berkata, kewibawaan pegawai pemantau juga dipertikaikan kerana tidak telus menangani masalah ini seolah-olah ada arahan tertentu yang tidak dinyatakan.

“Kami memahami keputusan Paidks, Mais dan Jais serta memohon perkenan DYMM Sultan Selangor supaya dapat mengarahkan Mais menjalankan siasatan terhadap perkara ini yang dianggap mempunyai agenda lain.

“Kami memohon Mais menyiasat perkara ini memandangkan pengurusan Jais kini di bawah Menteri Besar, yang kini memegang portfolio agama,” katanya.

No comments: