Pembayar cukai pendapatan terpaksa tanggung kos RM43 bilion: Najib

BATU PAHAT: Datuk Seri Najib Razak berkata, cadangan menghapus kira pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menjadi janji baru pembangkang memerlukan rakyat menanggung RM43 bilion menerusi pembayaran cukai. Perdana Menteri menegaskan, jika langkah itu diambil, ia akan meningkatkan beban pembayar cukai pendapatan kerana tiada negara di dunia yang menanggung sepenuhnya kos pendidikan tinggi.



“Kalau PTPTN nak dihapuskan, ia menelan kos RM43 bilion. Hanya tiga negara di dunia yang tanggung sepenuhnya pengajian di universiti termasuk Norway tetapi mengenakan cukai pendapatan yang tinggi.

“Adakah kita sebagai pembayar cukai sedia dikenakan cukai pendapatan yang tinggi semata-mata mahu menghapus kira PTPTN. Tentu ini tidak adil sama sekali kerana akan membebankan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Jelajah Janji Dikota (JJD) peringkat kebangsaan yang bermula di Stadium Batu Pahat, semalam.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.
Perdana Menteri mengulas janji baru pembangkang yang cuba meraih perhatian rakyat bagi mendapatkan sokongan serta undi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, meskipun banyak janji mereka di negeri yang sedang diperintah ketika ini gagal ditunaikan selepas mendapat mandat.

Najib menegaskan kos pembelajaran setiap pelajar yang diterima memasuki universiti awam negara ini sudah ditanggung sehingga 90 peratus oleh kerajaan.
Beliau berkata, kos tinggi yang ditanggung kerajaan itu menyebabkan hanya 10 peratus kos pembelajaran terpaksa ditanggung setiap pelajar menerusi pembiayaan oleh pinjaman PTPTN.

“Tentu tidak adil sama sekali untuk membebankan rakyat kerana yang masuk universiti sudah 90 peratus ditanggung oleh kerajaan, sedangkan hanya 10 peratus dibiayai menerusi PTPTN.

“Kalau nak dihapuskan ia tentu memberi beban kepada rakyat lain sedangkan ia bagi menanggung sedikit yuran serta kos sara hidup setiap pelajar,” katanya.

No comments: