Perpaduan Melayu terus kukuh jika UMNO-PAS lalui proses "ijab kabul"

2011/05/05
KUALA LUMPUR: Perpaduan orang Melayu di negara ini akan semakin kukuh sekiranya UMNO dan PAS dapat melalui satu proses "ijab dan kabul" yang mengisi perjuangan Melayu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Katanya, tidak menjadi kesalahan untuk mencapai tujuan murni itu malah ia juga tidak seharusnya disangsikan oleh mana-mana pihak.



"Saya fikir barang siapa yang mencurigai perasaan (perpaduan) baik ini mereka tidak realistik kerana inilah yang dituntut oleh fasal 3 Perlembagaan UMNO dan kalau tidak salah saya dalam fasal 3 atau 4 dalam perlembagaan PAS," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Pembudayaan Bahasa Melayudi Radio di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan pelbagai pihak supaya PAS bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan memutuskan hubungan dengan DAP. 

Ketika ditanya bagaimana beliau melihat UMNO, yang akan merayakan ulang tahunnya yang ke-65 pada 11 Mei ini, terus hidup bagi kesejahteraan rakyat pada masa akan datang, Rais berkata, UMNO harus dilihat sebagai tulang belakang kepada negara atau digunakan istilah kekuasaan politik di sesebuah negara iaitu berasaskan nombor atau "the politics of number".

"Ini kerana orang Melayu adalah 60 peratus dalam negara ini maka UMNO seharusnya tidak lagi terasa teragak-agak untuk menentukan hak dan masa depan bangsa Melayu dan bangsa lain-lain seperti Tiong Hua (Cina), India serta minoriti yang lain," katanya.

Rais juga memberi contoh negara Britain dan Singapura di mana kerajaan negara itu menentukan dasar utama negara berdasarkan bilangan majoriti rakyatnya. - BERNAMA 

No comments:

Powered by Blogger.