EDAR BIBLE BAHASA MELAYU DENGAN SENGAJA MAHU MENCETUSKAN KETEGANGAN AGAMA DAN KAUM


Kegiatan mengedar kitab Bible kepada pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini adalah satu kesalahan dengan cuba mencetuskan ketegangan agama dan kaum.

Di Malaysia, agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan. Bagaimanapun, lain-lain agama adalah bebas untuk dianuti dan diamalkan. Hak ini adalah dijamin oleh Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 11 (2) memperuntukkan - “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.”

Akan tetapi kebebasan beragama yang dibenarkan oleh Perkara 11 (1) Perlembagaan adalah tertakluk kepada sebarang sekatan yang dikenakan oleh Perkara 11(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan undang-undang negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam manakala Perkara 11 (5) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.

Hak kebebasan beragama adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan. Walaubagaimanapun hak tersebut adalah tidak mutlak tetapi tertakluk kepada sekatan-sekatan yang diperuntukkan di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan pada umumnya mempunyai kuasa untuk menyekat pengembangan agama lain terhadap umat Islam.

Sebagai contoh, dewasa kini semakin ramai penganut agama Islam yang dikatakan murtad atau mempersoalkan ajaran Islam itu sendiri. Untuk membendung gejala ini, adalah wajar untuk kerajaan campur tangan agar masalah ini tidak berterusan. Oleh itu, harus difahami dan diterima dengan hati terbuka bahawa kebebasan beragama yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan bukanlah sesuatu yang mutlak.

Oleh yang demikian, tindakan tegar wajar diambil terhadap pihak yang cuba mecabuli Perlembagaan Persekutuan yang dalam pengetahuannya adalah tidak sepatutnya membuat perkara demikian yang boleh mencetuskan ketegangan agama dan kaum.

_AR_