Flotilla bawa mesej besar hentikan penindasan Rohingya


Food Flotilla for Myanmar (FFFM) membawa mesej sangat besar untuk menghentikan penindasan terhadap etnik Rohingya oleh pihak berkuasa dan puak nasionalis Buddhis Myanmar kata Pengerusi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Bin Abdul Hamid.

Kata Mohd Azmi, membawa barang kemanusiaan dalam flotilla adalah sebahgian dari mesej untuk memberitahu dunia bahawa Myanmar harus bertanggungjawab terhadap pelarian yang dipaksa menderita dan mencari perlindungan di Negara jiran seperti Bangladesh.

“Bangladesh kini menanggung beban menerima lebih 500,000 pelarian Rohingya dari Myanmar sejak 1991, malah lebih awal lagi dari itu iaitu sejak 1982 apabila Rohingya digugurkan dari kerakyatan Burma. Kini sejak insiden 9 hb Oktober 2016 , hampir 70,000 pelarian Rohingya yang baru dari Maungdaw Myanmar melarikan diri ke Teknaf di Bangladesh.

“Mesej utama dari inisiatif Flotilla ini adalah Myanmar akan terpaksa mengambil perhatian kepada desakan dunia. Malaysia mengambil tindakan untuk menghantar bantuan dengan Flotilla kerana Myanmar melakukan penindasan berterusan dan membebankan dunia dengan satu lagi konflik yang boleh mecetuskan ketidakstabilan yang berpanjangan di rantau Asia Tenggara. 

“Jika Myanmar dibiarkan meneruskan penindasan ini, ia berpotensi mengundang konflik dan musibah kemanusiaan yang sangat besar di rantau ini, kata Mohd Azmi.

Jelas beliau lagi, isu Rohingya ini bukan isu konflik pertempuran antara golongan yang mahu kemerdekaan dengan satu pihak yang menjajah , tetapi adalah isu penafian kerakyatan. Akibat menafikan kerakyatan pada 1982 , etnik Rohingya tiba-tiba menjadi rakyat tanpa Negara dan dengan itu terdedah kepada pelbagai penindasan,termasuk pembersihan etnik (ethnic cleansing) dan genosid (pembunuhan massa ). 

“Natijah selanjutnya, Negara jiran seperti Bangladesh , Thailand , Malaysia , Indonesia , Pakistan terpaksa terbeban menanggung kedatangan mereka untuk mencari perplindungan. Apakah dunia hanya mahu memerhati isu Rohingya ini atau bertindak menekan Myanmar supaya mengembalikan kerakyatan Rohingya di Myanmar?,” kata Mohd Azmi lagi. 

Flotilla ini menarik perhatian dunia , bahawa akibat penindasan dan sekatan untuk mendapat akses langsung kepada kawasan etnik Rohingya yang terperangkap , Malaysia bertindak dengan pelbagai pendekatan termasuk melancarkan sebuah misi flotilla. Dunia akan mengikuti reaksi balas dan langkah yang akan diambil Myanmar selanjutnya terhadap Flotilla ini. 

Mohd Azmi mempersoalkan mengapa kerajaan Myanmar tidak membenarkan bantuan dihantar oleh Ngo kemanusiaan masuk ke kem pelarian seperti Sittwe dan daerah Maungdaw, apakah yang mahu dirahsiakan oleh Myanmar?

Kini Bangladesh dituduh oleh Myanmar memberi tapak kepada pejuang pembebasan Rohingya. Dengan yang demikian Bangladesh mengambil tindakan berhati-hati untuk tidak membenarkan mana-mana pihak luar yang mahu mengedar bantuan kepada pelarian Rohingya di Bangladesh. Ini merumitkan operasi kemanusiaan.

Tuduhan bahawa pejuang Rohingya bertapak di Bangladesh menyebabkan Bangladesh tersepit antara mahu membantu pelarian Rohingya dengan alasan tidak mahu ujud gerakan bersenjata bertapak di Bangladesh.

Permohonan agensi antarabangsa untuk mengedarkan bantuan di Bangladesh menjadi rumit bila alasan keselamatan diguna untuk menolak permohonan. 

Polisi yang ditetapkan hanya dua organisasi sahaja yang diiktiraf boleh mengedar bantuan secara langsung kepada mangsa Rohingya iaitu International Organzation of Migrants (IOM) dan International Red Cresent (IRC).

Flotilla dari Malaysia berhadapan dengan alasan yang sama. Pihak Bangladesh menyambut baik inisiatif flotilla dari Malaysia namun tidak membenarkan delegasinya masuk ke kem-kem pelarian Rohingya.

Setelah berunding dengan sangat intensif, antara Urusetia dan pihak berkuasa Bangladesh, di pelabuhan Chittagong , pihak berkuasa Bangladesh hanya mengizinkan 25 orang wakil delegasi flotilla melawat kem pelarian. Alasan yang diberi adalah isu keselamatan. 

Kami terpaksa menerima, keputusan ini adalah hak Bangladesh. 

Walaupun rujukan kepada peringkat tertinggi kerajaan kedua-dua Negara telah diusahakan, flotilla terpaksa bersepakat bahawa bantuan kemanusiaan diserahkan kepada IOM dan IRC dan mereka akan mengedarlkan sendiri kepada mangsa pelarian. 

Kami tetap berpandangan bahawa flotilla adalah usaha penting dan berjaya mengembleng seluruh rakyat Malaysia dan penyertaan beberapa aktivis antarabangsa untuk menyampaikan mesej kepada dunia bahawa isu Rohingya tidak boleh dibiarkan berterusan. 

Myanmar akan dipertanggungjawabkan melakukan jenayah kemanusiaan ( crimes against humanity ) jika dunia tidak bertindak menghentikan dasar menindas kerajaan Myanmar. 

Sekretariat FFFM mengambil perhatian bahawa kerumitan untuk delegasi mengedarkan sendiri bantuan kemanusiaan kepada mangsa Rohingya di Myanmar dan Bangladesh tidak bermakna ia gagal, kerana jika sekadar untuk membawa makanan kepada mereka , ada cara lain boleh dilakukan.

Akan tetapi dengan flotilla, kesan dan mesejnya sangat berbeza. Liputan media yang meluas terhadap Flotilla, menyebabkan dunia kini berbincang mengenai sikap Myanmar dan pendekatan Bangladesh untuk merongkai isu Rohingya.

No comments: