PEMILIHAN Agung UMNO terutama pada Sabtu 19 Oktober ini yang melibatkan pemilihan Ketua Bahagian, Majlis Tertinggi dan Naib Presiden dilihat sebagai kayu ukur seluruh rakyat Malaysia mengenai sejauh mana UMNO menterjemah isyarat yang disampaikan oleh pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.
Isyarat pengundi sangat jelas: Pengundi Cina menolak Barisan Nasional (BN) dengan sentimen yang dimainkan oleh DAP, kononnya UMNO sebagai tulang belakang BN yang bakal mengetuai kerajaan adalah parti ultra nasionalis Melayu.
Manakala yang lebih signifikan lagi penolakan pengundi Melayu muda di bandar terhadap calon-calon BN termasuk daripada UMNO kerana beranggapan parti ini gagal menampilkan calon yang berintegriti untuk menyokong transformasi yang disarankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Itu sepintas komen yang penulis sempat berbual dengan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim ketika ditanya apa reaksinya mengenai kepentingan pemilihan UMNO kali ini terhadap pengundi yang berada di luar kelompok parti.
Penulis juga menyindir beliau mengenai prestasi UMNO Selangor serta Wilayah Persekutuan yang masih gagal memenangi hati pengundi muda kerana dianggap sebagai parti yang masih lagi bergantung harap kepada calon-calon konservatif yang sudah tidak berdaya maju untuk menyokong dasar transformasi politik dan ekonomi yang menjadi agenda utama Perdana Menteri.
Kata Irmohizam, UMNO menyedari hakikat ini dan berusaha memperbaikinya dan beliau yakin pemilihan parti yang membabitkan jawatan kanan pada Sabtu ini akan mampu merubah persepsi masyarakat terhadap tanggapan UMNO adalah parti yang enggan belajar dan tidak mahu belajar walaupun PRU-13 telah memberi isyarat bahawa pengundi muda di Lembah Klang tidak lagi melihat kepimpinan UMNO di kawasan mereka sebagai calon pemimpin yang mampu memenuhi aspirasi generasi baharu yang mahukan pemimpin bukan sahaja berintegriti tapi sanggup melaksanakan transformasi idea di luar kotak bagi menyegerakan proses transformasi yang diilhamkan Perdana Menteri.
"Tujuh bulan saya keliling di 16 lokasi sekitar Selangor untuk berinteraksi dengan pengundi muda melalui program Pop Fest yang saya anjurkan dengan matlamat untuk berinteraksi secara langsung dengan generasi muda," katanya.
Menurut Irmohizam, program yang berlangsung bermula pada Disember 2012 hingga sehari sebelum tarikh pilihan raya menyedarkan beliau bahawa telah wujud satu kelompok anak muda yang kritikal yang mampu mempengaruhi generasi mereka melalui satu gerakan yang tidak berada di atas platform politik mahupun dalam kokun pergerakan pertubuhan bukan kerajaan.
"Hari ini setelah 50 tahun merdeka, kita berdepan dengan anak muda yang jauh lebih kritis daripada generasi 'the young angry men' yang muncul pada tahun 1970-an, generasi existantisme pada dekad 1980-an serta generasi pos moden yang muncul pada pertengahan tahun 1990-an hingga awal alaf 21.
"Generasi yang berada di luar kepompong politik dan NGO inilah yang sebenarnya merupakan pengundi muda yang kritis dan mempunyai persepsi negatif terhadap UMNO dan BN," kata Irmohizam.
Generasi bebas ini dikenali sebagai anak muda independent yang sebenarnya mewakili kumpulan berkualiti tinggi dalam kelompok generasi muda yang penuh dengan idea kreatif tentang bagaimana sebuah masyarakat Melayu dan Malaysia pasca moden harus dibentuk.
Apa tidaknya, kata Irmohizam, kumpulan ini adalah mereka yang mendominasi medium-medium penting yang bersifat idea dan pemikiran terutama melalui interaksi blog, facebook, filem pendek, muzik, komuniti produk kreatif dan penulis/sasterawan muda.
Meskipun institusi ini tidak mempunyai struktur konvensional namun ia bukan bererti mereka tidak bergerak secara berkesan. Seisi dialog intelek yang dianjurkan biro penulis muda Pena pada Ahad minggu kedua setiap bulan serta diskusi buku dan penulis yang dianjurkan pada setiap minggu di sebelah petang di Starbuck KL Sentral membuktikan interaksi intelek dalam kalangan mereka sangat konsisten dengan tema-tema idea yang bersifat kontemporari.
Justeru kata Irmohizam, 146,500 pengundi akar umbi yang akan memilih 191 Ketua Bahagian, 25 Ahli Majlis Tertinggi dan tiga Naib Presiden perlu juga mengambil kira bahawa calon-calon yang dipilih mampu memberi impak kepada pengundi yang menolak UMNO atas prasangka parti ini kolot dan bergaya lama.
Penjenamaan baru UMNO katanya tidak lagi boleh disampaikan secara slogan yang bersifat poster dan iklan kerana kearifan anak muda sekarang tidak lagi boleh dimomokkan dengan doktrin yang bersifat medium kerana generasi ini yang dibentuk oleh sistem pendidikan kita sejak 20 tahun terakhir ini menjadikan mereka bersifat result oriented dan bukan setakat orientasi input dan output.
"Saya mohon 146,500 perwakilan memahami apa yang mereka akan putuskan nanti adalah keputusan yang boleh diterima oleh lebih 13 juta pengundi yang akan menentukan survival UMNO dan BN pada PRU-14 nanti" kata Irmohizam.
Malah pemilihan UMNO kali ini boleh menjadi satu keputusan yang bersifat bonus sekiranya pemimpin-pemimpin yang dipilih turut diterima oleh masyarakat Cina dengan anggapan baru bahawa pemimpin-pemimpin ini mampu memimpin dan menjaga kepentingan mereka melalui undi yang mereka berikan kepada mana-mana calon BN pada PRU-14 akan datang.
Irmohizam mengucapkan selamat mengundi dengan penuh tanggungjawab kepada semua perwakilan yang berpeluang menentukan nasib dan masa depan agama Islam, bangsa Melayu dan kedaulatan Malaysia. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment