"Jadi kita mesti mulakan dari satu titik sebab kita tidak boleh selama-lamanya dikawal oleh kebimbangan yang tidak menentu," kata Husam
saya lihat kegilaan Husam mahu ganja dihalalkan ini adalah sebab ianya mendatangkan pendapatan yang lumayan. Pendapatan yang akan mendatangkan bencana kepada negara.
Mungkin Husam mahu lebih cepat kaya dengan menjual ganja agaknya.
dipetik dari Malaysiakini.
Husam: Ganja disalah erti gara-gara fitnah silam
WAWANCARA | Senator Husam Musa menjelaskan terdapat tiga faktor utama yang menjadi punca penggunaan ganja bagi tujuan perubatan mendapat cacian dan cemuhan.
Hal itu, katanya, disebabkan tumbuhan berkenaan difitnahkan bermudarat sejak bertahun-tahun lamanya.
"Jadi terdapat tiga faktor mengapa ia jadi begitu.
"Pertama faktor kejahilan, diikuti kebimbangan yang tidak menentu ataupun prasangka, dan yang ketiga, kesangsian yang berpanjangan.
"Jadi kita mesti mulakan dari satu titik sebab kita tidak boleh selama-lamanya dikawal oleh kebimbangan yang tidak menentu," katanya kepada Malaysiakini dalam wawancara pada Khamis lalu di Sri Damansara, Petaling Jaya.
Terdahulu, bekas exco kanan Kelantan itu ditanya sekiranya pengambilan ganja untuk perubatan akan menggalakkan lagi masalah penyalahgunaan dadah.
Menurut Husam, sejarahnya bermula apabila British menggubal Akta Dadah Berbahaya pada 1952 dan memasukkan tumbuhan ganja (kanabis) tanpa membezakan spesis hem dan marijuana.
Boleh jana pendapatan
"Bahan ini sangat berguna untuk kecergasan minda, inspirasi dan intelektual serta kesihatan badan tetapi oleh kerana ia difitnah melalui pengharaman oleh British pada 1952 dan dikaitkan dengan penagihan semata-mata, aspek baik dalam kanabis dilupakan.
"Jadi kanabis dah disangka buruk sehingga yang nampak adalah ketagihan manakala aspek positif tidak di ketengahkan.
"Jadi sekarang kita kena berlaku adil menggunakan semula kanabis dan juga herba yang lain secara wajar," katanya.
Husam menjangkakan penanaman hem untuk industri dan ganja perubatan - jika dibenarkan kerajaan - dapat menjana pendapatan rakyat dan membawa pulangan hasil kepada negara.
Katanya jumlah pulangan itu juga dianggarkan sangat besar.
Pada masa sama katanya jika semua pihak sekadar mengutamakan kebimbangan dan mengabaikan langkah mencari formula yang sepatutnya, negara akan ketinggalan dari dua segi.
"Pertama, hasil kepada negara termasuk petani-petani dan manfaat kesihatan," katanya lagi.
Menjelaskan lanjut, Husam memberi contoh cadangan syarikat multinasional Coca Cola untuk mengeluarkan minuman kesihatan berasaskan kanabis yang tinggi CBD tetapi rendah THC.
"Bayangkan Coca Cola mengeluarkan minuman berasaskan kanabis yang tidak menyebabkan ketagihan tapi memberi rasa senang kepada jiwa dan beri kesan kepada kesihatan yang baik.
"Bayangkan berapa jumlah pasaran yang mereka dapat, dan kita hanya terkebil-kebil sebab kita dikawal oleh kejahilan dan lebih mengutamakan kebimbangan tanpa cuba menghapuskan kesangsian kita," ujarnya.
Melekat dalam fikiran
Husam juga berkata orang ramai terutamanya pengidap penyakit kronik seperti barah dan sawan boleh mendapat manfaat jika pasaran ganja untuk perubatan dibuka dengan kawal selia seperti produk kesihatan lain.
"Sekarang ini satu cara untuk memupuk (kefahaman ganja perubatan) adalah tentang ubat dan drugs (dadah) atau rawatan untuk penyakit kronik seperti barah dan sawan," jelasnya.
Husam juga diminta mengulas mengenai kawal selia peraturan di antara industri alkohol berbanding ganja untuk tujuan perubatan.
"Itu sebabnya dalam Islam, alkohol Allah haramkan kerana ia sudah ada kemudaratan lebih banyak berbanding manfaat. Asasnya kerana mudarat alkohol.
"Tapi dari kes ganja untuk perubatan, ia sangat berbeza, sebab kita boleh asingkan yang baik dan yang buruk.
"Pati CBD dapat diambil daripada pokok hem (yang rendah THC).
"Kita ambil manfaat ganja perubatan dan kita buang mudaratnya. Jadi lebih lagi keadaannya dari alkohol," ujarnya.
Husam berkata fitnah British pada 1952 masih melekat pada pemikiran orang ramai sedangkan terdapat manfaat perubatan yang dapat dipertimbangkan.
"Tak faham kerana difitnahkan British pada 1952, rakyat diberitahu bahawa ganja berbahaya, sedangkan ada lagi kegunaan lain yang boleh beri manfaat. Saya rasa ini semua adalah mindset," jelasnya.
Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Mohd Noor pada awal Februari lalu dilaporkan berkata penggunaan tumbuhan semula jadi seperti ganja dalam perubatan adalah harus jika tidak mengancam keselamatan.
Wan Salim bagaimanapun berkata kajian terperinci perlu dilakukan oleh pakar bagi membuktikan keberkesanannya, selain kaedah itu diambil hanya selepas tiada pilihan lain yang lebih baik.
“Jika kanabis dilihat memudaratkan penggunaannya, jatuh haram. Penggunaannya juga dilarang bagi tujuan keseronokan atau khayal.
“Kebenaran penggunaan mengikut kuantiti ditetapkan perlu diperjelaskan selain kawalan ketat," katanya.
Sementara itu, ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan, pula berkata penggunaan produk berasaskan ganja yang diimport perlu diberi peluangdan diterima secara terbuka bagi tujuan perubatan.
Pada 10 Feb lalu, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Zulkifli Abdullah, dilaporkan media sebagai berkata, pokok ganja boleh diusahakan bagi tujuan perubatan dan kajian, namun perlu memperoleh kebenaran menteri kesihatan.
Zulkifli yang juga bekas ketua polis Kelantan, Perak dan Kuala Lumpur berkata terdapat peruntukan undang-undang yang membenarkan penanaman pokok ganja dengan syarat atau kebenaran khusus.
“Jadi saya rasa, sayanglah kalau benda ini betul (ganja perubatan) dan boleh dilakukan dalam negara. Kalau kita tengok Akta Dadah Berbahaya, pokok ganja ini boleh diusahakan untuk tujuan perubatan,” kata beliau lagi.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye pula pada 11 Februari lalu berkata produk berasaskan ganja bagi tujuan perubatan boleh diimport tetapi perlu mematuhi tiga syarat yang dikenakan kerajaan dan syarikat yang berbuat demikian perlu mendaftarkannya di Kementerian Kesihatan.
"Selamat digunakan, terbukti berkesan dan maklumat kegunaan yang jelas.
“Walaupun ganja diklasifikasikan sebagai dadah berbahaya tetapi ada dadah berbahaya seperti morfin yang digunakan sebagai ubat, namun digunakan dengan formulasi dan kuantiti tertentu.
“Jadi, sekiranya hendak import ubat perlu berdaftar di bahagian farmasi Kementerian Kesihatan. Kalau sudah berdaftar dan melepasi syarat dikenakan maka ia boleh digunakan mengikut syarat-syarat ditetapkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment