USUNG KERANDA SIMBOLIK SELEWENG KHAIRAT KEMATIAN KATA NOH


Badan Perhubungan Umno Selangor menolak dakwaan beberapa pihak bahawa tindakan protes Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menggunakan van jenazah dan keranda di hadapan Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam beberapa hari lalu sebagai ugutan, sebaliknya menganggap tindakan itu merupakan simbolik.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Hj Omar berkata protes yang dilakukan Jamal itu sekadar mendesak penjelasan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai penyelewengan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) termasuk melibat skim khairat kematian bernilai RM200 juta.

Noh berkata lagi, terdapat aduan dari waris skim khairat kematian tersebut yang menafikan mereka menerima jumlah seperti dijanjikan kerajaan Selangor.

“Menerusi skim khairat kematian yang dibuat oleh kerajaan negeri Selangor, keluarga si mati akan menerima RM2,500, tetapi ada yang menyatakan hanya terima RM500, ada yang terima RM300.

“Cara pengeluaran duit itu pula hanya menggunakan ATM yang dipegang oleh individu tertentu, malah saya baca kenyataan Datuk Seri Jamal, hasil pemeriksaan beliau ada pengeluaran wang berkenaan dibuat di Pulau Pinang dan di Sabah dan Sarawak pun ada jadi Datuk Seri Jamal hanya mahu Menteri Besar Selangor menjelaskan kepada rakyat perkara ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, tindakan Jamal itu sekadar simbolik terhadap ketirisan yang berlaku melibatkan khairat kematian.

“Skim ini niatnya baik, tetapi perlaksanaannya gagal, sebab itu Datuk Seri Jamal bawa pengusung jenazah, ia bukan satu ugutan.

“Sebaliknya ia sesuai sebagai simbolik skim kerajaan negeri untuk bantu keluarga orang yang meninggal dunia,” katanya lagi.

Beliau yang ditemui pada sidang media selepas program Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Rumah Transit 1Malaysia (RT1M) di Pinggiran Bukit Jalil di sini, malam tadi meminta kerajaan negeri agar menjawab perkara yang dibangkitkan Jamal dan bukan mengalihkan perhatian rakyat terhadap kaedah protes itu dilakukan.

No comments: