Sampah dan Anda - Islam dan Kebersihan.



Semua penganut agama Islam akan mengatakan bahawa agama Islam merupakan agama yang mementingkan kebersihan. Kita diajar bagaimana untuk bersuci dari kecil lagi; bagaimana untuk beristinjak, jenisjenis air untuk bersuci, bagaimana mengambil wuduk; hatta hingga cara membersihkan hadas sekalipun. Kita juga diajar jenis-jenis najis dan cara mensucikan sesuatu tempat sebelum tempat itu dikira bersih lagi suci. Bahkan tular di dalam media sosial apabila dikatakan beberapa bahan makanan mengandungi DNA babi; walhal perkara tersebut belum dapat dipastikan. Sehinggakan ada pihak yang menpersoalkan samada wang kertas perlu disamak kerana wang tersebut dipegang oleh peniaga bukan-Islam yang memegang daging babi dan anjing! Begitu sensitif masyarakat Islam tentang kesucian.

Banyak firman Allah SWT dan hadis-hadis tentang keutamaan kebersihan. Sikap membudayakan amalan kebersihan adalah bukti kekuatan akidah seseorang dan disukai oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah alBaqarah ayat 222:

Maksudnya:”Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri”.

Antara hadis-hadis RasulAllah SAW yang menekankan faktor kebersihan seperti berikut:

“Diriwayatkan dari Sa’ad bin Abi Waqas dari bapanya, dari Rasulullah SAW. : Sesungguhnya Allah SWT itu suci yang menyukai hal-hal yang suci, Dia Maha Bersih yang menyukai kebersihan, Dia Mahamulia yang menyukai kemuliaan, Dia Maha Indah yang menyukai keindahan, karena itu bersihkanlah tempat-tempatmu” (HR. Tirmizi)”

Dari Abu Malik Al-Asya’ari RA katanya: Rasulullah SAW bersabda “Bersuci membersihkan diri (zahir dan batin) adalah setengah daripada iman.”

Gambar 1: Sampah sarap di tepi jalan
Amalan kebersihan bukan setakat untuk diri individu semata-mata, bahkan kebersihan persekitaran seperti pencemaran sampah, air, udara, kesucian makanan, dan rumah ibadat juga perlu dititik beratkan oleh orang yang mengaku dirinya berugama Islam. Malangnya, apa yang sepatutnya menjadi amalan setiap umat Islam tidak digambarkan sedemikian jika kita melihat keadaan di sekeliling kita. Benarlah kata pujangga Muhammad Abduh pernah menyatakan: “Aku pergi ke Barat dan melihat Islam, tetapi tidak berjumpa Muslim; aku pulang ke Timur berjumpa ramai Muslim, tetapi tidak melihat Islam.” Jika ingin melihat Islam diamalkan, pergilah ke negara bukan Islam seperti Jepun atau Jerman bukan ke negara umat Islam. Hakikatnya jika kita mengembara ke negara Jepun atau Jerman, kita akan melihat bagaimana bersihnya persekitaran mereka sehingga kita sendiri berasa malu untuk membuang sampah meratarata.

Bandingkan pula dengan negara-negara umat Islam seperti Indonesia dan negara kita Malaysia. Lihatlah di persekitaran kita sendiri di kawasan-kawasan perumahan. Kita dapati sampah sarap bersepah merata-rata. Barangkali sekiranya tiada kontraktor menyapu sampah seminggu, sudah pasti sampah sarap bertimbun di pinggir-pinggir jalan!

Akibatnya masalah sampah sarap tidak selesai. Masalah anjing liar dan penyakit seperti pembiakan nyamuk Aedes terus membelengui pertempatan kita. Maka penguasa tempatan terpaksa membelanjakan jumlah yang besar membiayai kerja-kerja pembersihan. Pasti sahaja rakyat Malaysia tidak mencukupi untuk bekerja sebagai buruh-buruh mengutip sampah; lalu pekerja import di bawa masuk. Walhal pekerja-pekerja import ini juga merupakan salah satu punca sampah kerana mereka membawa budaya dari negara mereka.

Gambar 2: Mangsa terbunuh akibat kerusi yang di
buang dari tingkat atas (Ihsan: Sinar Harian)
Kemuncak kepada masalah sampah ini adalah kisah bagaimana seorang remaja maut akibat sampah yang dibuang dari tingkat atas pangsapuri Sri Pantai, DBKL. Ini merupakan manifestasi kebobrokan sikap kiasu di kalangan penduduk Malaysia. Sekarang DBKL akan memasang jaring supaya sampah-sampah yang di buang dari tingkat atas tidak jatuh ke lantai. Soalnya, adakah ini satu penyelesaian? Yang pasti, jaring ini akan dipenuhi sampah kelak dan akan menjadi masalah untuk mengutip sampah-sampah ini.


Beginikah mentaliti rakyat negara yang berwawasan 2020 satu ketika dahulu? Sikap pengotor dan tidak mengambil-kisah kemaslahatan umum ini menunjukkan bahawa kita masih jauh ketinggalan berbanding negara-negara seperti Singapura, Jepun, Sweden dan seumpamanya dari segi perkembangan intelektual dan sahsiah. Sebagai penganut ugama Islam pula, di mana letaknya iman kita? Bukankah kita di ajar konsep hubungan vertikal kita kepada Allah (Hablumminallah), sedangkan hubungan horizontal adalah hubungan kita kepada sesama makhluk Allah (Hablumminannas)? Malah Nabi Muhamad SAW bersabda bahawa sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada orang lain.

Bukan sahaja kita kalah dengan perbandingan dengan negara-negara sekular, pada neraca Islam sekalipun kita tewas. Lihat sahaja kebesihan sebuah tandas pekerja di sebuah kilang di Jepun yang di lawati oleh penulis. Lihat sahaja kebersihan lantai tandas tersebut; sehingga boleh tidur di dalamnya. Bandingkan pula kebersihan tandas di negara Jepun dengan negara kita. Bahkan juga, tandas di masjid atau surau juga tidak sebersih ini!

Gambar 3 : Tandas di sebuah kilang di Jepun
Budaya menjaga kebersihan memang diterapkan oleh bangsa Jepun sejak kecil lagi. Di sekolah-sekolah, murid-murid dikehendaki membersihkan bilik darjah dan tandas menggunakan tangan. Sessi mencuci tandas ini menjadi sebahagian daripada ritual mingguan dan sebahagian daripada silibus pendidikan. Pembaca boleh merujuk laman-laman web atau di YouTube untuk melihat sendiri perkara ini seperti berikut:

https://www.youtube.com/watch?v=jv4oNvxCY5k

https://www.youtube.com/watch?v=0IwXYy_2BeU
Bayangkan jika perkara sebegini dilaksanakan di sekolah-sekolah di negara kita. Kemungkinan besar ia akan menjadi satu peristiwa yang mengejutkan dan mendapat tentangan dari kalangan ibubapa.

Pengalaman penulis sebagai pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh 40 tahun dahulu juga mempunyai ciri-ciri persekolahan di Jepun. Di sana setiap pelajar perlu membersihkan dormitori dan bilik darjah mengikut giliran setiap hari. Sementara pada setiap minggu diadakan pemeriksaan mingguan sehinggakan kebersihan kuku dan kekilatan kasut di ambilkira. Pengalaman ini mengajar penulis tentang keprihatinan terhadap kebersihan sehingga sekarang.

Kebersihan Premis Makanan

Sejak akhir-akhir ini pertumbuhan gerai-gerai tanpa lesen begitu mendadak di sekitar kawasan-kawasan perumahan. Sudahlah gerai-gerai ini berniaga secara haram, kebersihan dan kesucian makanan juga diragui. Lihat sahaja bagaimana pinggan mangkuk dan persediaan bahan makanan dilakukan di gerai-gerai ini.Bukan sahaja kerta-kertas bungkusan dibuang ke longkang-longkang, sisa-sisa makanan juga di buang. Akibatnya longkang telah tersumbat dan pembiakan tikus kian menjadi-jadi. Bukan menjadi sesuatu yang pelik sekiranya kita terlihat tikus sebesar anak kucing melintas jalan di kawasan-kawasan gerai ini!

Kepada sipenjaja, jangan beranggapan artikel ini umpama mencurahkan pasir ke dalam periuk nasi anda. Sebaliknya sipenjual hendaklah bertanya kepada dirinya:

  • Adakah anda seorang Muslim yang dalam ertikata sebenarnya dengan berniaga secara tidak berlesen ini?
  • Adakah kebersihan dan kesucian makanan anda terjamin untuk dijamu kepada pembeli?
  • Adakah adil sekiranya seorang pekedai yang berniaga secara sah terpaksa membelanjakan ribuan ringgit untuk sewa kedai, menyediakan jubin setinggi 2 meter sekeliling dinding kedai dan dapur mengikut kehendak PBT, membayar cukai setempat, bil elektrik dan air, membayar papantanda dan gaji pekerja; berbanding anda yang memacak gerai tanpa kos sewa, tanpa mengadakan kehendak syarat kebersihan PBT, tanpa bekalan air yang bersih?
  • Adakah perbuatan anda tidak menyumbang kepada pencemaran alam sekitar dengan membuang sisa-sisa makanan ke dalam longkang? Bukankah ini menggalakkan pembiakan tikus yang menjijikan?
  • Apakah pembiakan tikus ini tidak membahayakan jiran-jiran atau penduduk setempat? Bukankah ini menyebabkan ketidak-selesaan kepada penduduk setempat?
  • Adakah agama Islam menggalakkan umatnya menyusahkan umat Islam yang lain?
  • Bagaimana pula status halal-haram pendapatan anda dengan berniaga tanpa lesen yang sah (atau menyewakan tapak lot ke pihak ketiga di atas tanah awam) di samping mengakibatkan kekotoran pula; dan tanah awam ini menjadi milik/hak diri sendiri pula?
  • Bagaimana pula sekiranya anda merasuah penguatkuasa agar tiada tindakan di ambil ke atas gerai anda?

Petikan rencana seperti berikut dari blog Dr. MAZA perlu diambil ikhtibar mengikut perspektif Islam:

“Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang menyakiti kaum muslimin pada jalan-jalan mereka dia pasti mendapat laknat mereka” (Riwayat al-Tabarani dengan sanad yang hasan).

Perbuatan mengotor atau merosakkan harta awam adalah termasuk dalam menyakiti perasaan kaum muslimin. Maka ia mengundang kutukan dan cercaan mereka. Wajib membersihkan semula atau menggantikannya jika rosak dengan cara yang tidak sepatutnya.

Malang sekali, ramai yang tidak perasaan bahawa mereka sebenarnya melakukan dosa apabila mereka mengotor atau merosakkan kemudahan awam sehingga menimbulkan kesusahan kepada orang lain. Nampaknya, pengajian atau pendekatan pengajian agama yang diajar kepada masyarakat kita masih gagal untuk diterjemahkan secara praktikal dari segi prinsip dan ruhnya…”


Gerai-gerai tanpa lesen ini bukan sahaja merosakkan pemandangan estetik kawasan, ia juga menimbulkan kesesakan lalulintas apabila pengunjung gerai-gerai meletakkan kereta mereka di sepanjang jalanraya.

Gambar 5 Kesesakan lalulintas akibat gerai-gerai haram


Apa Tindakan Kita? 

Mengharapkan tindakan penguatkuasaan dari PBT semata-mata tidak memadai. Dengan kekangan kakitangan PBT yang terhad dan kawasan yang luas, ternyata tindakan penguatkuasaan PBT tidak efektif. Tambahan pula terdapat tekanan politik yang ingin mengekalkan status quo agar sokongan politik diperolehi. Masalah pelindungan daripada ahli-ahli politik setempat yang ingin menjadi juara kepada golongan ini merumitkan lagi keadaan. Sepatutnya ahli-ahli politik menanam prinsip kedaulatan undang-undang secara samarata di kalangan rakyat. Dengan cara ini, barulah anjakan paradigma ke arah mentaliti negara maju terhasil.

Justeru, penduduk perlu bertindak dengan memulaukan gerai-gerai ini dan menyatakan ketidak-selesaan kita dengan fenomena ini. Penulis menyeru agar semua penduduk dan persatuan penduduk dan NGO setempat sama-sama bangkit supaya kebersihan persekitaran kita terjamin. Mahukah kita kiranya kawasan kita menjadi seperti kawasan setinggan satu hari kelak sekiranya fenomena ini dibiarkan?

Pihak PBT diseru supaya menyediakan tempat menjaja yang sesuai dilengkapi kemudahan elektrik, air dan kebersihan. Contohi food court terbuka seperti di Singapura. Kos-kos pembersihan sampah, longkang tersumbat, operasi tangkapan anjing dan kucing liar, operasi penyemburan nyamuk bahkan penguatkuasaan, pasti boleh membayar kos pembangunan terancang ini. Cuba buat cost-benefit anaysis! Bukan kita anti penjaja, tetapi biarlah keharmonian, kebersihan setempat dan kemaslahatan umum diutamakan

Dinukil oleh: Ir. Hj. Arul Hisham b Abdul Rahim




No comments: